Sunday, September 6, 2009

Pertahan Malaysia Perlu Ikhlas Ikut Perlembagaan

Negara kita Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 dalam suasana sederhana tetapi patriotik pada 31 Ogos lalu. Di dalam banyak pengucapan pemimpin negara sempena tahun kemerdekaan ini, tuntutan semua rakyat Malaysia bersama-sama membina negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni, ditekankan menerusi kerangka gagasan 1Malaysia.Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) selaku sebuah pertubuhan yang mewakili golongan belia Islam di negara ini ingin menyeru seluruh masyarakat Malaysia menyahut seruan ini.

Masyarakat boleh menyumbang dalam usaha pembentukan negara Malaysia bersatu padu menerusi beberapa langkah.Pertama ialah dengan memahami dan menghayati kembali sejarah pembentukan negara ini. Hal ini menuntut masyarakat Malaysia meningkatkan bacaan dan kajian terhadap susur galur perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi perspektif yang menyeluruh. Menerusi pembacaan dan pengkajian ini, masyarakat Malaysia tentu akan terdedah dengan latar kehidupan negara sebelum kemerdekaan, memahami liku-liku dalam proses mencapai kemerdekaan, mengenali tokoh pejuang kemerdekaan dari segenap kumpulan masyarakat dan kaum serta memahami asas permuafakatan antara kaum di negara ini.

Langkah kedua ialah mempertingkatkan hubungan dan pergaulan antara kaum. Seperti kita ketahui, masyarakat kita tergolong kepada beberapa kelompok kaum seperti Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Kepelbagaian masyarakat Malaysia ini perlu dijalin secara kukuh dan berterusan. Peningkatan hubungan dan pergaulan menerusi pelbagai cara yang sesuai dan wajar antara pelbagai kaum boleh menghilangkan jurang dan tembok pemisah yang banyak disaluti oleh kepentingan kelompok. Di samping kita terus mengekalkan identiti kelompok yang kita warisi, masyarakat Malaysia hendaklah bersatu atas semangat kenegaraan sebagai 'Anak Malaysia'. Langkah ketiga ialah menerusi peningkatan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Abim ingin menyeru seluruh masyarakat Malaysia supaya meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan sama ada daripada aspek kefahaman atau pertuturan.Bahasa Melayu ialah bahasa penghubung antara kita semua.

Sekiranya masyarakat Malaysia tidak berkongsi satu bahasa penghantaran yang sama, kita semua tidak akan dapat berkongsi perasaan kecintaan kepada negara dan tidak mungkin dapat menghayati cita-cita perjuangan sama sebagai anak Malaysia. Bersempena sambutan kemerdekaan tahun ini, Abim ingin menyeru semua pihak supaya terus gigih dan ikhlas dalam membina negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Ini dapat diterjemahkan sekiranya semua pihak menghormati Rukun Negara dan prinsip keadilan dan kehormatan insan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

MUHAMAD RAZAK IDRIS,
Presiden Abim.
sumber di petik : http://www.bharian.com.my

No comments:

 

Designed by Simply Fabulous Blogger Templates