Wednesday, August 5, 2009

Kenyataan Media 3 Ogos 2009 / 11 Syaaban 1430 H - ABIM Gesa Kerajaan Percepatkan Proses Penggubalan Undang-Undang Baru Menggantikan ISA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pihak kerajaan mempercepatkan tindakan bagi proses penggubalan undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA. Ini bagi memastikan supaya kegiatan protes terhadap ISA oleh sebahagian dari anggota masyarakat di negara ini, sebagaimana yang telah berlaku baru-baru ini dapat dielakkan dari berterusan. Antara tindakan segera yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mempercepatkan proses penggubalan undang-undang baru menggantikan ISA ini ialah dengan menubuhkan satu Suruhanjaya Khas yang dianggotai oleh tokoh-tokoh dari pelbagai sektor masyarakat, meliputi pihak kerajaan, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pihak kerajaan tidak harus memandang ringan protes-protes yang dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat ini sebagaimana yang terjadi kelmarin kerana ia merupakan manifestasi bantahan terhadap perlaksanaan ISA yang dilihat telah banyak melanggar batas-batas hak asasi warganegara dari kerangka perlembagaan.

ABIM juga ingin meminta masyarakat supaya memberi peluang dan masa kepada pihak kerajaan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang telah membuat kenyataan rasmi untuk membuat kajian semula terhadap akta ini, menyempurnakan janjinya. Ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat terbanyak hendaklah dipelihara oleh semua pihak.

ABIM ingin terus mempertegaskan sikapnya pada sebelum ini iaitu ISA hendaklah dihapuskan kerana ia bertentangan dengan prinsip hak kemanusian. Oleh itu, ISA hendaklah diganti dengan satu undang-undang baru yang lebih adil sejajar dengan tuntutan agama dan perlembagaan Malaysia.

‘Menegakkan Kebenaran Dan Keadilan’
MUHAMAD RAZAK IDRIS

Presiden,
*penulis selaku Exco Negeri yang dipilih pimpinan menyokong penuh pandangan dan saranan presiden.

PEMBELA

 

Designed by Simply Fabulous Blogger Templates