Friday, August 28, 2009

Hormati keputusan Mahkamah Syariah

Hormati keputusan Mahkamah Syariah

Keputusan hukuman sebatan dikenakan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno, yang telah diputuskan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan, ditangguhkan pelaksanaannya dan mengundang pelbagai polemik. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpandangan polemik ini tercetus kerana masyarakat masih tidak faham dengan pelaksanaan undang-undang sebatan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah ini.Ada yang gerun lalu menentangnya kerana momokan hukuman sebatan ini sangat kejam kerana membawa kepada kecederaan kekal, mengaitkannya dengan gambaran negatif pelaksanaan sebatan di Mahkamah Sivil di bawah Kanun Prosedur Jenayah 1998.

ABIM ingin mengingatkan hukuman sebatan ini telah diperuntukkan di bawah kuasa negeri di mana Raja adalah bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama termasuk dalam hal pelaksanaan undang-undang syariah yang diperuntukkan di bawah enakmen/akta negeri masing-masing.Di Malaysia, khususnya di bawah peruntukan Undang-undang Jenayah Islam negeri, pelaksanaan bagi hukuman sebat bagi pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah diperkenalkan dan dilaksanakan.

Namun demikian, setakat ini hanya negeri Kelantan dan Pahang sahaja yang telah melaksanakan hukuman sebatan ini. Kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah bagi hukuman kesalahan jenayah syariah juga sangat terhad iaitu denda maksimum sebanyak RM 3,000, lima bulan penjara dan enam kali sebatan.
Mahkamah Yang Mulia sedang menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya mengikut peruntukan perlembagaan walaupun kuasa yang diberikan sangat terhad. Selain peruntukan berkaitan pelaksanaan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah, terdapat juga peruntukan lain berkaitan kaedah dan pelaksanaan hukuman sebat yang merangkumi alat digunakan untuk sebatan dan tatacara pelaksanaannya. Malah, kaedah dan pelaksanaan sebatan ini sangat berbeza dengan pelaksanaan di Mahkamah Sivil sepertimana yang diperincikan di bawah Seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Syariah 2002 Negeri Pahang.

Justeru ABIM menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan di Pahang menjatuhkan hukuman sebatan dan denda terhadap Kartika dan hentikan tohmahan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah kerana dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan. ABIM juga ingin menegaskan bahawa undang-undang Islam berada di bawah kuasa negeri dan apabila Mahkamah Syariah telah memutuskan hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang negeri, yang juga berada di bawah kuasa raja di negeri tersebut, maka kerajaan persekutuan tidak boleh mencampuri urusan tersebut kerana ia adalah kuasa eksklusif negeri yang diperuntukkan dengan jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Apa-apa jua keadaan sekalipun, hanya Mahkamah yang berbidang kuasa sahaja (dalam kes ini mahkamah syariah itu sendiri) yang boleh mengeluarkan perintah penggantungan tersebut di atas alasan rayuan yang dikemukakan atau apa-apa alasan lain yang munasabah di sisi hukum syarak.ABIM melahirkan kekecewaannya terhadap campur tangan Peguam Negara yang dilihat bertindak atas desakan pelbagai pihak termasuk tekanan dari luar negara. Yang jelas, Kartika mengakui kesilapannya dan memilih menjalani hukuman tersebut dan pilihan tersebut harus dihormati.

Ternyata, prinsip Kartika Sari dan keluarganya sangat menghormati undang-undang dan menjunjung tinggi perintah Mahkamah Syariah wajar dipuji dan dihormati. Isu ini tidak perlu dipolemikkan dan dikelirukan. Malah sewajarnya semua pihak dianjurkan menghormati keputusan Mahkamah Yang Mulia ini dan pendirian Kartika Sari dan keluarganya dalam mempertahankan undang-undang Islam di Malaysia.

No comments:

 

Designed by Simply Fabulous Blogger Templates