Sunday, February 7, 2010

Memeluk Islam : Makluman dan Sebaran

SEBAGAIMANA dilaporkan dalam kebanyakan media massa dan portal-portal, perbicaaraan yang melibatkan mualaf Muhammad Riduan Abdullah telah berlangsung di Mahkamah Tinggi Ipoh kelmarin. Muhammad Riduan yang telah memeluk Islam Mac 2009 yang lalu Meskipun telah memperolehi perintah penjagaan ketiga-tiga orang anaknya dari Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh tetap hadir demi menghormati system perundangan Negara. Di sebalik perolehan hak penjagaan di sisi mahkamah syariah, beliau juga kini berhadapan dengan tuntutan yang sama yang dibuat oleh isterinya Indira Gandi.



Berikutan dengan perbicaraan kelmarin, pelbagai laporan media telah dikeluarkan. Saya selaku peguam yang membantu Muhammad Riduan Abdullah ingin mengambil kesempatan yang ada bagi membetulkan beberapa fakta yang telah disiarkan oleh media-media sejak kelmarin.



Kehadiran Muhammad Riduan bersama anak bongsunya selain menjawab tuntutan terhadapnya, adalah bertujuan membantu mahkamah dalam menilai keadaan anak bongsunya yang kini berumur setahun Sembilan bulan.


Sebagaimana yang telah dihujahkan oleh pasukan peguam Muhammad Riduan, mahkamah sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes tersebut bilamana pihak-pihak yang terlibat adalah beragama Islam.


Meskipun Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini memutuskan mahkamah sivil mempunyai budibicara walaupun pihak-pihak yang terlibat beragama Islam, ianya tidak terpakai dalam kes yang sedang dibicarakan.


Ini disebabkan dalam kes Subashini, ia membabitkan permohonan cerai yang mana tidak berlaku dalam fakta kes yang dihadapi oleh Muhammad Riduan.


Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini juga tidak sekali-kali meutuskan bahawa Mahkamah sivil berhak mengenepikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syaariah. Justeru, perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah Ipoh yang memberi hak jagaan kepada Muhammad Riduan mempunyai kuatkuasa di sisi undang-undang Negara sekaligus tidak boleh dikesampingkan.


Kami juga menghujahkan bahawa isteri Muhammad Riduan seharusnya hadir ke mahkamah syariah bagi menjawab permohonan yang dikemukakan oleh Muhammad Riduan.


Undang-undang Islam yang berkuatkuasa di Perak seharusnya dimanfaatkan oleh beliau bagi tujuan membantah permohonan hak penjagaan yang dikemukakan oleh Muhammad Riduan terhadap beliau. Beberapa peruntukan undang-undang yang relevan termasuklah undang-undang berikut:


I ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (PERAK) 2004, Seksyen 50.

II ENAKMEN KELUARGA ISLAM (PERAK) 2004. Seksyen 4, Seksyen 76.

III ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (PERAK) 2004, Seksyen 2.



Terdapat juga media yang melaporkan bahawa anak bongsu kepada pasangan tersebut memanggil-manggil ibunya semasa pertemuan keluarga.


Saya dan peguam-peguam yang mewakili kedua-dua belah pihak menyaksikan komunikasi antara beliau dan isterinya berlangsung dalam bahasa tamil. Difahamkan oleh Muhammad Riduan apa yang dikatakan oleh anak bongsu mereka ialah "nana nana" yang bermakna tidak mahu. Ia berlaku bilamana isteri Muhammad Riduan cuba mendekati anak bongsu mereka.


Muhammad Riduan juga telah menyerahkan wang sebanyak RM1500.00 kepada anak sulung mereka Tevi Dasiny atau Umu Habibah bagi digunakan untuk manfaat mereka dua beradik yang tinggal bersama Indira Gandi.


Saya penuh harap agar isu yang melingkungi keluarga Muhammad Riduan ini tidak dijadikan kesempatan untuk menangguk di air yang keruh oleh mana-mana pihak.


Apa yang dilalui oleh keluarga ini merupakan warna-warna dalam hidup masyarakat majmuk dan harus diharmonikan dengan semangat perpaduan serta kefahaman yang mencukupi.


Isu keluarga sememangnya mudah membangkitkan emosi yang pelbagai. Apatah lagi bilamana ia diiringi dengan persoalan-persoalan berkaitan agama.


Bersama-sama ini juga saya sertakan beberapa laporan media untuk rujukan:


Keputusan hak penjagaan anak Indira pada 3 Februari

Conversion custody tussle outcome on Feb 3

Teacher in custody battle briefly reunited with daughter



Marilah kita bersama-sama menghulurkan rasa prihatin kita kepada keluarga yang sedang dilanda ujian ini. – 8 Safar 1431H


Sumber daripada : http://bprihatin.blogspot.com/
Tetuan Faizal Yusof & Co, (Peguambela & Peguamcara), 2714-F, Tingkat 1, Bangunan Koop Kemas, Jalan Kuala Krai (Hadapan JKR), 15050 Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.

*Semoga ada yang terbaik dari Allah SWT.

No comments:

 

Designed by Simply Fabulous Blogger Templates